Wednesday, November 25, 2009

Sempadan Tanah Haram Makkah




Tanah Haram Makkah ialah jarak yang melindungi Masjidil Haram dari segenap penjuru. Allah s.w.t. menjadikan hukum Tanah Haram sama dengan Makkah sebagai memuliakannya. Tanah Haram ini telah diharamkan oleh Allah s.w.t. semenjak dijadikan bumi hinggalah ke hari kiamat. Sempadan Tanah Haram memang patut di ketahui kerana ia berkaitan dengan beberapa hukum khas . Hukum Tanah Haram ini telah ditentukan oleh Allah s.w.t. semenjak bumi dijadikan dan ia berkekalan sehingga hari kiamat. Lantaran itulah, Makkah telah menjadi perhatian umat Islam sejak dahulu lagi.

Orang yang pertama dikatakan membuat tanda sempadan Tanah Haram ialah Nabi Ibrahim a.s. berpandukan petunjuk daripada Jibrail a.s. Selepas pembukaan Kota Makkah, Rasulullah s.a.w. telah melantik Tamim bin Asad al-Khuza’I r.a. agar memperbaharui tanda sempadan Tanah Haram.

Selepas itu khalifah dan pemerintah Makkah sentiasa memperbaharui a’lam (tanda) Tanah Haram di setiap penjuru, di atas bukit dan tempat tinggi, begitu juga di lembah. Ada yang masih kekal dan ada yang telah rosak. Bilangan tanda yang dibuat telah mencecah sehingga 934 tanda, sebagaimana yang di catat oleh Dr. Abdul Malik bin Abdullah bin Duhais dalam tesis Ph.D nya yang bertajuk ‘Al-Haram al-Makki al-Syarif wa al-A’lam al-Muhithah bihi.

Pembaharuan terakhir dilakukan pada tahun 1422H, pada zaman Khadimul Haramain al-Malik Fahd bin Abdul Aziz.

Kawasan Tanah Haram Makkah panjangnya ialah 127 km dan keluasannya ialah 550 km dan 300 meter persegi.

Di sini dinyatakan anggaran jarak di antara Masjidilharam dengan beberapa sempadan Tanah Haram. Jarak ini sentiasa berubah-ubah mungkin disebabkan oleh factor perubahan jalan, atau ikhtilaf dalam menentukan ukuran. Pada zaman dahulu, ukuran yang didunakan ialah mile (batu) hasta dan sekarang pula ialah meter dan kilometer.

1. Al-Tan’im
Iaitu jalan keluar menuju ke Madinah. Ia terletak berdekatan dengan Masyid Sayidah Aishah r.ha. Jaraknya ialah 7.5 km.

2. Adhaat Libn
Kini dikenali dengan nama Uqaisyiah, iaitu jalan menuju ke arah Yaman. Jaraknya ialah 16 km.

3. Al-Syara’i
Terletak pada jalan menuju ke masjid Ji’ranah. Jaraknya ialah 16 km.

4. Al-Hudaibiyyah
Iaitu jalan lama menuju ke Jeddah. Jaraknya ialah 22 km. Jalan baru sekarang dikenali dengan nama al-Syumaisi.

5. Jabal Namirah (Zat al-Sulaim)
Jaraknya ialah 22 km mengikut jalan raya dan 15 km mengikut jalan lurus pejalan kaki (pesestrian).

Manakala sempadan Tanah Haram dengan tanah halal di Arafah (tempat wuquf) dikenali melalui tanda-tanda yang banyak dibina di Wadi ‘Uranah.

Allah s.w.t. telah menjadikan seluruh kawasan ini sebagai kawasan yang aman dan menjadi tempat tumpuan manusia.

Firman Allah bermaksudnya: ‘Sesiapa memasuki Tanah Haram, maka dia akan mendapat keamanan’.

Allah memberi ancaman kepada mereka yang cuba melakukan kejahatan (ilhad) di dalam Tanah Haram dengan firman-Nya yang bermaksud ‘Dan sesiapa yang berniat (belum melakukannya) untuk melakukan ilhad (kezaliman dan kejahatan) di Tanah Haram, nescaya Kami rasakan kepadanya sebahagian daripada seksaan yang pedih’.

Allah akan menimpakan azab ke atas mereka yang berniat untuk melakukan kejahatan di Tanah Haram. Kata Ibn Mas’ud r.a.: “Tiada tempat yang seseorang itu dikira bersalah dengan hanya bercita-cita untuk melakukan sesuatu kejahatan sebelum melakukannya, kecuali di Makkah."

No comments:

Post a Comment